Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Ronald Kiandee mencadangkan supaya isu 'kehilangan' wang kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dibawa ke prosiding jawatankuasa itu yang akan datang.

"Sebagai Pengerusi yang baharu, saya akan cadangkan di bawah Peraturan Mesyuarat 77 1(a) dan (d) agar perkara ini dibawa ke prosiding PAC akan datang," kata beliau dalam satu sidang media bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di lobi Parlimen di sini hari ini.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Wee Ka Siong dan beberapa Ahli Parlimen BN yang lain.

Kesemua mereka bersetuju bahawa dakwaan wang kutipan GST telah hilang perlu disiasat secara terbuka supaya rakyat mengetahui hal yang sebenar.

Pada Rabu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat mendedahkan sejumlah RM18 bilion wang pengembalian GST didakwa telah hilang di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini.