Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, kesal dengan sikap Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dalam isu 35 keluarga terlepas peluang mendapat rumah baharu di Kerinchi.

Beliau (Nurul Izzah) kini bukan sekadar 'cuci tangan' terhadap nasib penduduk yang menentang Projek Residensi Kerinchi, malah kini menyalahkan tindakan mereka berbuat demikian, katanya.

Tengku Sariffuddin berkata anggota parlimen itu juga tidak bersimpati terhadap mereka yang terkesan dengan hasutannya sebelum ini.

"Tidak ada sepatah perkataan pun yang tertulis memberi jalan penyelesaian, tidak ada secoret pun simpati kepada mereka yang terkesan hasil tindakan beliau, jauh sekali mengakui kesilapan yang telah beliau lakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Projek Residensi Kerinchi yang menempatkan 472 isi rumah dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin lepas.

Bagaimanapun 35 keluarga (penduduk Flat Empat Tingkat Kampung Kerinchi itu) tidak menandatangani perjanjian projek berkenaan sebelum ini.

Najib ketika berucap pada majlis perasmian residensi itu melahirkan rasa musykilnya terhadap tindakan Nurul Izzah yang dilihat cuba menggagalkan projek itu sebelum ini.

"Akhirnya mangsa 35 keluarga mengikut hasutannya (Nurul Izzah). Dan sekarang mereka menyesal kerana tidak dapat rumah baharu," kata perdana menteri.

Perdana menteri ketika berucap pada majlis perasmian itu berkata penduduk yang menerima baik projek kerajaan itu kini mampu tinggal di pangsapuri berkeluasan 900 kaki persegi yang kondusif dengan dilengkapi kolam renang, surau, taman permainan dan sebagainya tanpa sebarang bayaran berdasarkan konsep 'trade-off' (tukar ganti).

Residensi Kerinchi menempatkan 472 unit apartmen dibangunkan di kawasan lebih 2.8 hektar atas tapak bekas Flat Empat Tingkat, Kampung Kerinchi itu, yang diruntuhkan.

Nurul Izzah ketika membalas komen Najib, sebaliknya dilaporkan menggesa perdana menteri supaya menghormati hak penduduk dan memberhentikan kenyataan berbaur 'fitnah' serta tidak menyakiti hati mereka.

"Realitinya, beliau adalah penghasut. Bertahun lamanya beliau menentang kerajaan dan menghasut rakyat membantah projek yang hanya akan bawa kebaikan kepada mereka," Tengku Sariffuddin. -- Bernama