Penutupan kantin Malaysia Hall di London kepada warga asing adalah atas faktor keselamatan, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau menambah beberapa insiden kecurian termasuk kecurian pasport dilaporkan sering berlaku di situ, menyebabkan tindakan tersebut perlu dilakukan.

"Bagaimanapun keputusan ini tidak menganggu atau melibatkan rakyat Malaysia kerana mereka hanya perlu mengemukakan dokumen pengenalan untuk masuk (ke kantin Malaysia Hall)... tidak ada masalah untuk mereka.

"Jika mereka datang dengan rakyat asing, perkara itu mungkin boleh dipertimbangkan atas budi bicara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Futsal Parlimen Indera Mahkota di Gelanggang Futsal Kampung Tiram di sini, hari ini.

Saifuddin berkata demikian semasa diminta mengulas laporan media semalam, mengenai penutupan kantin Malaysia Hall kepada warga asing dan pemeriksaan keselamatan lebih ketat kepada warga Malaysia yang ingin menikmati juadah di situ.

Saifuddin juga menyifatkan kantin Malaysia Hall yang beroperasi di Bedford Row, London juga perkara yang unik kerana ia merupakan satu-satunya kedutaan yang membuka kantinnya kepada pengunjung luar yang ingin menikmati juadah tempatan pada harga subsidi.

Semasa diminta mengulas perbezaan kenterangan Menteri Luar Arab Saudi Abel Ahmed Al Jubeir berhubung status wang RM2.6 bilion kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata perkara itu tertakluk kepada siasatan yang akan dilakukan.

"Perbezaan keterangan yang dibuat Abel pada tahun 2016 bukan di dalam bidang kuasa saya dan saya percaya pihak siasatan boleh menilai kenyataan beliau... apa yang penting beliau memberi jaminan akan bekerjasama dalam isu berkenaan," katanya.

Saifuddin juga menjelaskan bahawa pertemuannya dengan Abel semalam, adalah kali kedua selepas di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September lalu.

"Di New York, Abel telah mengesahkan wang itu bukan daripada kerajaan Arab Saudi atau keluarga Raja Salman dan semalam, saya tidak bertanya, namun beliau sekali lagi mengulangi kenyataan yang sama," katanya.

Mengulas mengenai penyertaan Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam, Saifuddin yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) berkata perkara itu berlaku dalam prinsip yang dipersetujui semua parti dalam pakatan.

"PH mempunyai Majlis Presiden dan sudah ada perbincangan tentang kemasukan pemimpin dan anggota parti lain termasuk daripada UMNO yang ingin menyertai mana-mana parti dalam PH.

"Ada dua prinsip yang menjadi pegangan PH iaitu semua parti bebas menguruskan hal ehwal parti masing-masing dan perkembangan yang berlaku dalam parti akan dilaporkan secara berkala pada mesyuarat Majlis Presiden.

"Kami percaya setiap parti mempunyai kebijaksanaan sendiri mengenai siapa yang hendak mereka bawa masuk ke dalam parti," katanya dan menambah mesyuarat Majlis Presiden terdekat dijadualkan pada 3 Nov depan.

-- BERNAMA