MIC akan menawarkan khidmat guaman percuma kepada pihak terjejas akibat insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, dekat Subang Jaya pada awal pagi Isnin dan Selasa lalu.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, keputusan untuk memberikan khidmat berkenaan setelah mengambil kira perkembangan insiden tersebut termasuk pengumuman terbaharu daripada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi Rabu.

"Kita melihat perubahan dari segi fakta sekiranya benar apa yang diumumkan oleh menteri KDN, bahawa ada kumpulan dibawa masuk oleh syarikat peguam pemaju, ini adalah kesalahan dari segi undang-undang.

"Terdapat penganut yang diancam dan dicederakan oleh kumpulan ini, juga kemusnahan struktur di tempat kejadian, dan ini memerlukan tindakan polis (undang-undang) dan tindakan sivil terhadap syarikat tersebut (peguam) untuk menuntut ganti rugi," katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen pada Rabu.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, antara pihak yang akan dibantu ialah pihak kuil, penganut yang terjejas, belia-belia terjejas termasuk yang ditahan polis dan anggota beruniform jika perlu.

Katanya, terdapat tujuh orang peguam yang akan memberikan khidmat guaman itu, empat daripadanya adalah anggota MIC.

Dalam pada itu, katanya, MIC juga akan menanggung kos rawatan penganut-penganut yang cedera dan dirawat di hospital.

"Seperti kita tahu, ramai penganut ini terdiri daripada golongan sederhana yang kurang mampu, jadi MIC akan tanggung kos rawatan hospital dan perubatan untuk membantu mereka," katanya. -- Bernama