“Jangan tokok tambah cerita bila kita tak tahu.”

Itu kata Setiausaha Kehormat Persatuan Murid-Murid Tua Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCOBA), Hamdi Abdullah berhubung isu viral sekumpulan pemain ragbi Jepun mengutip sampah di kolej itu.

Perbuatan itu dirakam semasa Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7 Sepasukan (MCKK Premier 7s) 2019 - kejohanan tahunan ragbi bawah 18 tahun yang menampilkan pasukan tempatan dan antarabangsa.

Hamdi berkata dakwaan bahawa pasukan Jepun dari Akademi Seiko Shizuoka (SSA) itu sedang mengutip puntung rokok adalah tidak benar.

Difahamkan, kejadian itu berlaku di bahagian selatan padang bola Big Field dan video itu diambil oleh seorang pengurus pasukan lain yang ingin menjadikan ia sebagai contoh yang baik.

“Kita amat hormati konsep clean as you go dari warga Jepun dan sememangnya kami juga inginkan pelajar kami berbudaya sebegitu.

“Malangnya semalam penganjur MCKK Premier 7 menjadi bahan kritikan atas usaha murni pasukan ragbi dari Jepun tersebut.

“Pertama, kawasan kejadian adalah di bahagian selatan padang bola Big Field, di mana ia termasuk khemah pasukan bertanding - bukannya kawasan penonton Premier 7.

“Video itu diambil oleh seorang pengurus pasukan lain yang ingin menjadikan sebagai contoh perkara baik tetapi ia ditotok tambah oleh pihak yang tidak usul periksa sebagai mengutip puntung rokok,” kata Hamdi menerusi satu kenyataan media.

Tambah Hamdi, penganjur acara itu turut mempunyai sukarelawan kebersihan yang bertanggungjawab menjaga kebersihan lokasi perlawanan.

Terdahulu, sebuah video yang memaparkan sekumpulan pemain ragbi Jepun dari Akademi Seiko Shizuoka (SSA) membersihkan sebuah padang di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) Ground, tular di media sosial.

Video tersebut dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter, @ali70asyraf yang mempersoal tindakan orang Malaysia yang tidak bertanggungjawab.

Dalam video tersebut, sekumpulan pasukan ragbi dari Jepun itu dilihat membersihkan salah sebuah padang di kolej itu dengan mengutip sampah-sarap.

“Pasukan Jepun datang MCKK 7, pastu diorang terlihat putung rokok and sampah…cuba fikir diorang datang nak join tournament ragbi ke nak bersihkan negara orang,” tweet @ali70asyraf.

Tweet itu kemudian meraih lebih 10 ribu ulang ciap (Retweet) dengan netizen melahirkan rasa ‘malu’ dengan kejadian tersebut.