Siasatan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah penting untuk membersihkan nama kerajaan sebelum ini yang diterajui Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata persepsi bahawa wang dari kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah 'dirompak' oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini perlu disiasat bukan sahaja oleh pihak kementerian tetapi juga agensi penyiasatan yang lain.
"Kita tidak mahu persepsi bahawa BN telah merompak duit rakyat untuk terus tersebar.
"Kebenaran harus ditegakkan supaya rakyat tahu sebenarnya apa yang berlaku," kata Khairy dalam sidang media bersama wakil-wakil BN termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Ronald Kiandee.

BACA: RM18 bilion kutipan GST mungkin digunakan untuk pembangunan - Zahid
Khairy berkata demikian selepas membuat laporan polis di Sentul pada Khamis.
Menurut beliau, satu laporan juga akan dibuat di SPRM esok.
Pada Rabu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat mendedahkan sejumlah RM18 bilion pengembalian cukai GST didakwa telah 'hilang' di bawah pentadbiran kerajaan BN sebelum ini.
Menurutnya, dana tersebut sepatutnya dikembalikan kepada peniaga dalam tempoh dua minggu selepas mereka memfailkan tuntutan masing-masing.