Langkah Kerajaan Johor menukar label dan jenama Bas Muafakat Johor kepada Bas Harapan Johor dilihat sebagai usaha mengambil dividen kerajaan lama.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Manndzri Nasib berkata, pertukaran label itu juga dilihat tidak neutral jika dibandingkan perkataan ‘muafakat’ dipakai sebelum ini.

“Konsep kewujudan bas itu yang mustahak iaitu kemudahan untuk rakyat dan bantu rakyat imbangi tekanan kos sara hidup yang tinggi. Idea bas ini cetusan kerajaan muafakat adalah memang baik.

“Berhubung penjena­maan dan penukaran label perkhid­matan, semua maklum ia bersifat semula jadi kerajaan negeri untuk ambil dividen politik sebagai parti baharu yang memerintah.

“Namun penggunaan nama ‘harapan’ itu dilihat seperti terkait secara langsung dengan nama gerakan politik berban­ding ‘mua­­fakat’ yang rakyat lihat lebih neutral,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujarnya, dia turut memuji kerajaan lama Barisan Nasional (BN) kerana tidak melabelkan perkhid­matan bas berkenaan sebagai ‘Bas Barisan’.

Dalam masa sama juga turut memuji tinda­kan kerajaan baharu Johor kerana meneruskan idea yang baik dari kerajaan sebelum ini untuk masyarakat negeri ini.

Terdahulu, UMNO Johor mengkritik lang­kah Kera­jaan Johor yang menukar label dan jenama Bas Muafakat Johor kepada Bas Harapan Johor.

Pengerusinya, Datuk Hasni Mohammad berkata, langkah tersebut adalah perbuatan membazir dan ketidakcekapan dalam mentadbir urus negeri ini.

Katanya, ia berikutan pembiayaan bas itu ditanggung oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri, sekali gus setiap perbelanjaan sewajarnya digunakan untuk memberi perkhidmatan dan keselesaan kepada pengguna sebagai pembayar cukai.

Paling penting demi kemudahan rakyat, bantu imbangi tekanan kos sara hidup.