Beberapa saintis terkemuka di Malaysia menggesa kerajaan agar menilai keperluan Lynas berdasarkan fakta saintifik, bukan berlandaskan tuduhan daripada aktivis yang tidak berkelayakan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lynas memetik Felo Akademi Sains dari Universiti UCSI Prof Datuk Dr Ahmad Ibrahim sebagai berkata, kerajaan tidak harus membiarkan persepsi liar ke atas pelaburan negara dizahirkan golongan tertentu, tidak kira sama ada mereka dari dalam mahupun luar negara.

“Kritikan bahawa loji Lynas menghasilkan tahap radiasi yang tinggi telah dibuktikan tidak berasas, atau palsu, oleh laporan Jawatankuasa Penilaian Eksekutif yang ditubuhkan Kerajaan Malaysia sendiri.

“Selain itu, laporan itu turut menyangkal dakwaan pengkritik bahawa loji itu boleh mengakibatkan ancaman kesihatan kepada penduduk di kawasan sekeliling, memandang imbasan keselamatan yang ketat telah dilakukan ke atas populasi di situ,” menurut Dr Ahmad, sebagaimana dipetik kenyataan media itu lagi.



Selain itu, Lynas turut memetik bekas Profesor Universiti Malaysia Pahang Datuk Dr Ir Badrulhisham Abdul Aziz sebagai berkata, loji milik Lynas itu merupakan loji pemprosesan nadir bumi yang bukan sahaja termoden, tetapi juga terbesar di dunia.

“Walaupun ia bukan milik negara, tetapi lokasinya yang terletak di Malaysia mampu melonjakkan tahap aplikasi teknologi di negara ini.

“Saya menggesa kerajaan hari ini untuk mengambil tindakan berpatutan ke atas isu Lynas, dan ia harus berlandaskan fakta saintifik dan kebenaran, bukan berlandaskan kecenderungan politik sesetengah pihak semata-mata,” katanya dalam kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Laporan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian itu telah mendapati Lynas Malaysia mempunyai tahap risiko yang rendah, dan mematuhi segalai piawaian yang ditetapkan.

Lynas berkata, walaupun golongan aktivis itu mengakui dapatan yang dikeluarkan jawatankuasa berkenaan, mereka masih cuba mengelirukan masyarakat dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat.