Keputusan meminta semula mandat rakyat Negeri Selangor dengan tindakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dilihat hanya merugikan masa dan kewangan kerajaan.

Ketua UMNO Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, ia sekali gus disifatkan keterlaluan kerana membawa masalah dalaman Pakatan Rakyat (PR) sehingga menyusahkan rakyat.

"Kita tidak nampak sehingga sampai bubar DUN kerana jika tengok masalah itu hanya kemelut pertukaran menteri besar.

"Kita lihat ia tidak elok dan hanya merugikan masa dan duit kerajaan untuk mengadakan satu pilihan raya negeri semula," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.

Syed Ali mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang membayangkan pembubaran DUN Selangor untuk meminta semula mandat rakyat.

Abdul Khalid turut meminta PR tidak memperalatkan rakyat Selangor sebagai batu loncatan untuk menguasai Putrajaya tanpa mendapat persetujuan mereka terlebih dahulu.

Jelas Syed Ali, tidak ada sebab untuk PR menukar Abdul Khalid yang disifatkan memberi komitmen cemerlang sepanjang pemerintahannya di Selangor.

Sebarang usaha menjatuhkannya dilihat mempunyai agenda yang dirancang oleh beberapa pemimpin PKR.

"Sebagai orang yang berlainan parti, saya kira kalau orang itu (Abdul Khalid) boleh perform, tiada sebab untuk menukarkannya kecuali ada agenda.

"Tiada keperluan untuk menukar orang lain, tetapi jika hendak juga...teruskanlah," ujarnya.

Dalam pada itu Syed Ali turut menghormati keberanian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bertegas mahukan Abdul Khalid kekal sebagai menteri besar Selangor.

"Saya respek kenyataan Hadi, itu yang harus diikut semua ahli PAS dan saya puji pemimpin ini," katanya.

Kenyataan Hadi itu bagaimanapun dibidas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang berkata, kenyataan itu bukanlah keputusan rasmi parti.

Tambah Mohamad Sabu, pendirian rasmi PAS mengenai kedudukan Abdul Khalid hanya akan diputuskan semasa mesyuarat selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.