Pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia merupakan antara isu yang dibincangkan Perdana Menteri dengan kerajaan negara itu dalam lawatan kerja tiga hari beliau yang berakhir pada Rabu.

Beliau berkata, kes pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam dapat dikurangkan sekiranya nelayan tempatan mengambil peluang meningkatkan tangkapan hasil laut di perairan sendiri.

Menurut Dr Mahathir, tindakan pihak berkuasa Malaysia menangkap nelayan asing yang menceroboh perairan negara tidak dapat menyelesaikan isu berkenaan sepenuhnya, tanpa ada peranan daripada nelayan tempatan.

Pada masa sama, katanya, nelayan tempatan perlu mengambil lebih peluang untuk meningkatkan hasil tangkapan di perairan negara.

"Kita telah ambil tindakan tangkap nelayan menceroboh perairan Malaysia tetapi ini tidak akan kurangkan pecerobohan mereka kerana kita ada lautan luas, banyak ikan tetapi kurang usaha tangkap ikan, bila orang (luar) masuk (perairan) kita marah.

"Kita (nelayan tempatan) buat bot sendiri, tetapi tak nak jadi nelayan, nak duduk rumah susahlah.

"Jadi orang lain boleh kerja untuk kita, tetapi jadi masalah bila orang lain tangkap ikan, (tetapi) kita jual di tengah laut," katanya kepada dalam sidang media bersama wartawan Malaysia sebelum mengakhiri lawatan rasmi ke Vietnam hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa sebanyak 748 bot nelayan dan 7,203 tekong dan awak-awak Vietnam ditahan kerana menceroboh perairan Malaysia.