Pendirian kerajaan dalam membela nasib rakyat serta kedaulatan Palestin perlu disokong rakyat Malaysia daripada segenap lapisan, merentasi kaum, agama dan juga ideologi politik, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata, ketika memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda Barisan Nasional dahulu, beliau pernah memperjuangkan isu yang sama dan ianya mendapat sokongan padu daripada semua pihak.

“Tak ada sebab apa yang kita nak buat (Perhimpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis) Jumaat ini, tak dapat sokongan daripada semua pihak. Kalau buat pilihan tak mahu bersama terserahlah, tapi orang akan tanya apa pendirian mereka (pembangkang) berhubung kait isu ini,” katanya kepada siding media selepas melakukan lawatan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini hari ini.

Hishammuddin, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata demikian ketika mengulas kenyataan Parti Amanah Negara bahawa pihak mereka tidak akan menghantar wakil ke himpunan solidariti dalam memperjuangkan nasib rakyat Baitulmaqdis di Palestin di Masjid Putra pada 22 Disember ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bakal sepentas sekali lagi dalam perhimpunan itu.

Selain itu, Datuk Seri Ahmad Zahid, turut memberitahu wartawan bahawa perhimpunan itu juga akan disertai 250 badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.

Sementara itu, Hishammuddin, ketika diminta mengulas mengenai cadangan kerajaan untuk membuka pejabat kedutaan di Baitulmaqdis, Palestin, beliau memberitahu sidang media bahawa perkara itu akan menjadi agenda pada tahun hadapan memandangkan mesyuarat kabinet pagi tadi berlangsung tanpa kehadiran Perdana Menteri yang ketika ini sedang berada di Sri Lanka.

Selain itu, katanya lagi, mesyuarat tadi merupakan mesyuarat Jemaah Menteri yang terakhir untuk tahun ini.

Namun, katanya, kenyataan Datuk Seri Najib untuk membuka pejabat kedutaan merupakan momentum sokongan berterusan negara dalam usaha mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin yang sah.

“Mengenai perkara ini (pembukaan pejabat kedutaan) kita kena bincang di peringkat kabinet, (tetapi) ini kelebihan bila bawa ke peringkat Jemaah Menteri kerana kita boleh mendapatkan pandangan daripada Wisma Putra, menteri yang menjaga ekonomi, mengenai isu keselamatan.

“Jadi bila kita combine kesemua pandangan itu, kita dapat buat keputusan yang akan mengambil kira apa jua kebimbangan dan perkara-perkara yang tak terfikir hari ini,” katanya lagi.