Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran kesal apabila kenyataan beliau berhubung kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengambil pekerja asing dari Afrika telah difahami di luar daripada konteks yang sebenar.

Menurutnya, konteks merupakan sesuatu yang penting hari ini kerana setiap kenyataan yang dibuat tanpanya boleh menyebabkan ia disalah tafsir.

Menjelaskan lebih lanjut isu kontroversi itu, Kula Segaran berkata, perkara mengenai pengambilan pekerja Afrika itu timbul dalam perjumpaan beliau bersama pemilik ladang di Cameron Highlands bahawa mereka sangat memerlukan pekerja asing.

"Saya memberi tahu mereka (petani di Cameron Highlands) bahawa dalam pertemuan dengan pemilik ladang baru-baru ini saya dimaklumkan bahawa pekerja dari Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Vietnam tidak lagi berminat untuk bekerja di ladang kelapa sawit.

"Mereka mengatakan industri perladangan kerugian hampir RM10 juta setahun akibat hasil yang tidak dipungut kerana kekurangan tenaga kerja.

"Pemilik ladang mencadangkan supaya, untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja, kerajaan mempertimbangkan untuk mengambil pekerja Afrika terutamanya daripada negara yang mana Malaysia banyak melabur dalam sektor minyak dan gas dan pertanian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Idea ambil pekerja asing warga Afrika masih di peringkat cadangan - Dr Mahathir

Katanya, cadangan itu pada asasnya dilihat boleh dipertimbangkan dengan alasan kekurangan tenaga kerja asing dan faktanya boleh diambil kira menerusi pelaburan ketara Malaysia di Afrika.

"Dalam konteks sesi pertemuan itu, saya maklumkan bahawa kerajaan mungkin akan pertimbangkan untuk mengambil pekerja Asing bagi atasi kekurangan tenaga kerja dalam sektor ladang pertanian di Malaysia.

"Saya juga memberitahu bahawa perlu mendapat kelulusan Kabinet mengenai cadangan ini sebelum ia dilaksanakan," katanya.

BACA: Kaji kesan baik buruk sebelum ambil pekerja Afrika - Duta

Jumaat lalu, Kula Segaran dilaporkan mengetengahkan cadangan membawa masuk pekerja dari negara Afrika berikutan pekerja asing dari Vietnam dan Indonesia tidak lagi berminat untuk bekerja di negara ini disebabkan gaji yang diterima hampir sama dengan di negara asal.

Berikutan kenyataan yang dibuat dalam sesi pertemuan dengan pemilik ladang di Cameron Highlands itu, Kula Segaran dikritik pelbagai pihak.

BACA: Pekerja Afrika: Sivarraajh gesa menteri fikir implikasi sosial