Malaysia harus menguruskan pelarian secara betul atau ia akan membebankan negara pada masa akan datang.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, negara sedang menghadapi masalah kemasukan pelarian dan pengurusan yang betul adalah perlu agar ia tidak membebankan negara.

Beliau berkata demikian selepas perjumpaan bersama Filippo Grandi, Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) di Geneva semalam.

Pertemuan selama 45 minit itu antara lain membincangkan mengenai kerjasama antara Malaysia dan badan dunia itu dalam pelbagai aspek pengurusan pelarian.


Antara komitmen UNHCR adalah untuk membantu Malaysia dalam mendapatkan sebahagian dari Qatar Development Fund yang boleh digunakan untuk mengurangkan beban negara menguruskan pelarian.

Semasa pertemuan tersebut juga, Muhyiddin menegaskan bahawa terdapat keperluan penglibatan pihak Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia dalam proses pemberian status pelarian yang dilaksanakan selama ini oleh UNHCR.

Setakat ini Malaysia dipercayai mempunyai seramai lebih kurang 180,000 orang pelarian dari pelbagai negara.

Muhyiddin dijangka akan mengadakan mesyuarat intra-agensi selepas kembali ke tanahair bagi meneliti soal pengurusan pelarian di Malaysia.

Antara agensi yang terlibat adalah Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Sementara itu, Muhyiddin turut meluangkan masa beramah mesra bersama rakyat Malaysia di Geneva.

Antara isu-isu yang diajukan kepada Muhyiddin adalah mengenai Dasar Kemakmuran Bersama, isu keselamatan serta hubungan antara kaum.

Dalam pertemuan selama lebih 2 jam tersebut, Muhyiddin mengambil peluang untuk berinteraksi dalam sesi dialog bersama mereka.

Turut hadir, Tan Sri Dr Jemilah Mahmod, Under Secretary General, International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies (IFRC) dan Datuk Dr Rashidi Said, Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).