APABILA kita dirundung masalah tertentu dan melibatkan perihal hukum hakam dalam perbuatan, seringkali kita akan merujuk orang yang lebih arif atau ustaz untuk menentukan apakah hukumnya dalam keadaan-keadaan tersebut.

Lalu apabila kita mendapat jawapan, adakah kita akan beramal dengan 'fatwa' orang yang lebih arif tadi atau tidak?

Jawapannya kembali kepada keimanan kita. Jika niat di hati memang bertanya untuk patuh kepada wahyu, maka kita akan ikut. Tetapi jika niat di hati untuk memenangkan kehendak peribadi, maka kita mungkin akan mencari pandangan lain yang kononnya lebih ringan untuk memenuhi tuntutan nafsu kita.

Atas sebab itu Imam Asy-Syatibi menyebut: Memberi pilihan kepada orang yang bertanyakan fatwa adalah bercanggahan dengan maqasid syarak.

Ini kerana orang awam yang tidak mempunyai ilmu akan memilih pandangan yang lebih disukai hawa nafsunya, bukan atas dasar disiplin ilmu.

Sepertimana beliau juga menyebut ciri-ciri 'alim rabbani adalah orang yang :

1) Menjawab soalan bersesuaian dengan kondisi orang yang bertanya
2) Melihat kepada ma'alaat (natijah/penghujung) terhadap perkara yang ditanya, sebelum menjawab persoalan.

Diriwayatkan bahawa Ibnu Abbas pernah ditanya ;

Apakah hukum orang yang membunuh ? Adakah baginya taubat ? Beliau RA menjawab : Tidak ada taubat baginya. Lalu orang yang bertanya itu pun beredar. Mendengarkan jawapan itu, sahabat-sahabatnya bertanya, bukankah semalam (pada majlis semalam) engkau katakan ada taubat bagi pembunuh ?

Beliau RA menjawab : Aku katakan demikian pada hari ini kerana aku dapati dia yang bertanya sedang dalam keadaan marah. Cuba ekori langkahnya. Apabila sahabat-sahabatnya mengekorinya ternyata orang yang bertanya itu memang ada masalah dengan jirannya dan mahu membunuhnya, namun jawapan Ibnu Abbas RA telah menghalangnya daripada melakukan dosa besar itu.


Kalaulah Ibnu Abbas RA seorang yang lurus bendul, pasti beliau akan menjawab bahawa berdasarkan semua nas Al-Quran dan hadis semua dosa itu akan diampunkan Allah SWT apabila si pelaku benar-benar bertaubat dan ikhlas, atau rahmat Allah lebih besar daripada dosa hamba-Nya, atau pembunuh 100 orang pun dimasukkan ke dalam syurga seperti dalam satu hadis, atau penzina pun masuk syurga hanya kerana bagi minum air kepada anjing, atau sebagainya yang hanya menjadikan si penanya soalan lebih cenderung untuk menuruti nafsunya dalam mentakwil jawapan-jawapan penuh ilmiah itu dan nescaya tertumpahlah darah seorang muslim akibat jawapan lurus bendulnya itu.

Namun beliau RA cukup memahami waqi' dan realiti semasa hinggakan beliau memberikan jawapan tepat yang boleh menjadikan seseorang itu sentiasa tetap di atas landasan syariah, bukan dijawab dengan jawapan literal dan tidak pula menjadi lurus bendul semata-mata berpegang dengan teks tanpa perkiraan-perkiraan lain yang tidak kurang pentingnya dalam sesuatu fatwa.

Asy-Syatibi menyebut;
Maqasid syarak dalam penurunan syariat adalah mengeluarkan seseorang mukallaf daripada runtunan hawa nafsunya, hinggalah dia menjadi hamba Allah secara ‘pilihan’ (by choice) sepertimana dia adalah hamba Allah secara terpaksa (by chance).

Isu asas dalam ‘tadayyun’ (beragama) adalah kepatuhan kepada Tuhan. Mana-mana masalah jika tidak didasarkan kepada ketundukan dan kepatuhan kepada Tuhan akan caca-merba dan saling bertentangan kerana ia didasari nafsu yang tabiatnya berbolak balik dan tidak tetap walaupun dia mendakwa perbuatannya itu ada sudut pandangan ulama' yang membenarkannya.

Manakala tujuan utama pensyariatan fatwa adalah melorongkan manusia untuk kekal di atas landasan syarak, bukan semata-mata memberitahu maklumat atau perselisihan para ulama’ dalam satu-satu masalah lalu memeningkan masyarakat terhadap isu yang lebih utama.

Isu memiliki anjing tanpa sebab syarie baru-baru ini telah mendapat respons daripada ramai pihak, banyak yang mengkritiknya, sesuai dengan saranan fiqh Syafie, namun ada juga yang cuba memberikan helah dengan menaqalkan pandangan ulama semata-mata mahu melegalisasikan perbuatan itu dalam syarak.

Isu ini sepatutnya ditanggapi secara menyeluruh dan teliti, jangan bermudah-mudah dalam memberikan pandangan ulama' yang khusus kepada masyarakat awam yang tidak pun memahami asas-asas fiqh apatah lagi disiplin ilmu syarak. Memberikan pandangan yang syaaz dalam ruangan yang penuh syubhat dan fitnah hanya menggalakkan masyarakat untuk melakukan perbuatan yang salah berbanding mengikut landasan syarak yang betul.

Masyarakat perlu dilorongkan atas landasan yang memenuhi citarasa syariat dan menambahkan kepatuhan kepada Tuhan, bukan lorong gelap yang dihiasi kesesatan hawa nafsu dan perhiasan syaitan.

Walaupun kita mungkin tidak memiliki cop pengesahan ahli syurga atau neraka, atau surat mendapat pahala dan dosa, tapi janganlah kita pula yang membuka pintu helah bagi orang yang mahu melakukan dosa kerana seburuk-buruk manusia adalah yang menjadi kunci pembuka kepada keburukan dan penutup kepada kebaikan.


* Artikel ini ditulis oleh Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa, Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS).