Perdana Menteri Tun D. Mahathir Mohamad menyifatkan isu pembentukan kerajaan negeri Sabah ada unsur rasuah.

Beliau berkata, bukti yang menunjukkan berlakunya manipulasi ialah sehingga kini negeri itu tidak boleh membentuk kerajaan.

"Pada mulanya Parti Warisan sudah menang 35 kerusi, tetapi selepas beberapa kali kiraan semula, ia kurang kepada 29 kerusi.

"Kini mereka mempunyai masalah kerana tidak dapat membentuk kerajaan," kata Tun Dr Mahathir dalam satu sidang media di ibu negara, pagi tadi.

Katanya lagi, terdapat percubaan untuk menyogok menggunakan wang terhadap beberapa individu, dan ini dianggap sebagai rasuah.

"Anda boleh bertukar parti kerana prinsip tetapi jika mereka 'dibeli', ini bukan cara yang betul.

"Kami akan siasat isu ini, sebarang elemen yang melibatkan wang kepada individu penting, kami anggap ia rasuah.

"Sepanjang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini juga, Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) seperti mengabaikan aktiviti rasuah yang berlaku, kami akan siasat," kata Tun Dr Mahathir lagi.

Beliau juga mengulangi pendirian bahawa tidak ada niat atau unsur dendam yang terlibat, tetapi hanya mahu semua mengikuti peraturan undang-udang.