Isu pemindahan dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) boleh dikatakan telah selesai.

Itu pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan agensi berkuasa dan anggota kerajaan masih bersama.

"Pihak pembangkang tidak perlu ambil kesempatan kerana ini bukan pertentangan atau perkelahian antara anggota kerajaan.

"Ini termaktub dalam 'general orders'," kata Shahidan pada sidang media Pusat Dagangan Dunia Putra, (PWTC) hari ini.

Tambah Shahidan, apa yang penting ialah pegawai kerajaan yang bertugas tidak boleh mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mencetuskan kontroversi.

Sebelum ini, Shahidan melahirkan rasa kecewa terhadap isu perpindahan kedua-dua pegawai kanan SPRM ke JPM.

Beliau dilaporkan menggesa semua pihak bertenang mengendalikan isu itu.

Pada Jumaat, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob menerima notis perpindahan mereka untuk melaporkan ke JPM hari ini.

Perintah itu dibatalkan pada Isnin selepas kedua-dua pegawai terbabit bertemu dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa.