Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempertahankan tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam menyelesaikan isu berkaitan kilang haram memproses habuk kayu di Sungai Lembu, Bukit Mertajam.

Menurut Azizah, kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar telah mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Beliau tidak menafikan wujudnya aduan daripada penduduk kampung berhubung kewujudan kilang tersebut, dan masalah itu telahpun diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

"Saya kira kerajaan negeri telah beri keprihatinan kepada masalah ini dan berikan penjelasan, jadi saya anggap masalah ini telah selesai," kata Wan Azizah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu kilang haram memproses habuk kayu di Sungai Lembu yang didakwa menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar.

Terdahulu Azizah bersama-sama dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta Exco, Phee Boon Poh mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Lembu.

Dalam pada itu Azizah berkata isu kilang haram dan pencemaran tidak hanya wujud di Sungai Lembu bahkan terdapat di merata tempat.

Beliau mengakui, isu tersebut telahpun dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin beberapa kali agar tindakan segera diambil bagi mengatasi masalah pencemaran yang didakwa berlaku di kawasan tersebut.

Mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu kilang awal bulan lalu, Azizah berkata, SPRM tidak sewajarnya mengamalkan sikap pilih kasih dalam menjalankan tugas mereka.

"Kita tidak mengatakan SPRM tidak menjalankan tugas mereka tetapi kenapa ada pilih kasih? Kalau pembangkang, cepat sahaja ambil tindakan," katanya.

Minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan operasi di kilang haram tersebut selepas dipercayai mencemari alam sekitar di kampung tersebut.