Beberapa pejabat agensi kerajaan negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang serta syarikat berkaitan projek mega pembinaan terowong dasar laut menghubungkan Persiaran Gurney dengan Bagan Ajam, Seberang Perai Utara, diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, beberapa dokumen berkaitan dirampas dan akan diteliti pihaknya, susulan dakwaan mengatakan wujud salah laku dalam projek tersebut.

Antara yang diserbu adalah pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Tanah dan Galian serta Jabatan Penilaian di KOMTAR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri di Jalan Sungai Pinang, juga pejabat syarikat pemaju Ewin-Zenith Sdn Bhd, 555 Capital Sdn Bhd dan Konsortium Zenith di sekitar negeri.

Serbuan dibuat berdasarkan bukti baharu berkaitan projek pembinaan terowong dasar laut yang dikemukakan Parti Cinta Malaysia (PCM) kepada SPRM pada Sabtu.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer itu didakwa dilaksana dengan kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran yang membabitkan pertukaran tanah kerajaan negeri.

Penduduk turut membantah pembinaannya kerana risau akan kesannya kepada ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Pada Oktober tahun lalu, kerajaan DAP Pulau Pinang mengakui gagal menyerahkan laporan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut kepada Kementerian Kerja Raya, dengan alasan jangkaan pelaksanaan projek terbabit masih lambat, iaitu pada 2023.