Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan rakyat Malaysia agar bersangka baik dengan isteri Perdana Menteri berikutan tersebarnya video Datin Seri Rosmah Mansor yang dipakaikan kasut oleh pembantunya.

"Bagi saya, jika seorang yang berusia lagi gempal meminta orang lain tolong mengenakan kasutnya, itu tidaklah ganjil. Apatah lagi jika tempat berkenaan tiada kerusi membolehkan beliau duduk," tulis Dr Mohd Asri di laman Facebooknya.

Dr Mohd Asri juga berpendapat perbuatan mencemuh isteri perdana menteri dengan perkataan yang negatif merupakan satu perbuatan yang tidak wajar dan biadap.

Tambah Dr Asri, hentikan cemuhan kerana baginya, cemuhan negatif amatlah tidak wajar, tiada simpati malah boleh dianggap biadap.

"Apa yang penting si pembantu sudi membantu. Hulurkan simpati. Janganlah kita kata 'terlebih manja', ataupun 'kalau tidak mampu pakai kasut, jangan pakai' atau seumpamanya.

"Itu tidak wajar dan tiada simpati. Mungkin juga biadap," tambahnya.

Nasihat yang sama diberikan kepada kerajaan supaya menghulurkan rasa simpati kepada rakyat yang menerima tekanan kos sara hidup yang kian meningkat.

"Demikianlah juga keadaan rakyat. Jika rakyat tidak mampu dengan tekanan belanja seharian, kerajaan wajarlah hulur simpati.

"Kenaikan harga barang, GST, kehilangan itu dan ini menjadikan rakyat tertekan dan perlu diselamatkan. Janganlah kata 'rakyat manja' ataupun 'jika mahal, jangan beli' ataupun 'jika nak jimat, jangan balik kampung' ataupun apa-apa 'ayat biadap untuk rakyat'.

"Jika kita simpati kepada orang lain, orang simpati pada kita," katanya.

Baru-baru ini, tersebar sebuah klip video menunjukkan Rosmah dipakaikan kasut oleh seorang anggota polis pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama media di Kompleks Media Karangkraf.

Selepas menonton klip video berdurasi 31 saat itu, ramai yang mengkritik Rosmah namun pembantu peribadinya tampil menjelaskan isteri perdana menteri itu memerlukan bantuan kerana sudah berusia dan keadaan lututnya yang tidak kuat.