Menteri Luar Malaysia dan India, Datuk Saifuddin Abdullah dan S. Jaishankar dilaporkan mengadakan pertemuan di sini pada malam Rabu bagi membincangkan beberapa isu berbangkit.

Pertemuan di luar Mesyuarat peringkat Menteri Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 itu dimaklumkan menerusi kemaskini di media sosial Wisma Putra.

"Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengadakan pertemuan dua hala dengan S. Jaishankar, Menteri Hal Ehwal Luar India, di luar Sidang Kemuncak Ke-18 #NAM pada 23 Oktober 2019," demikian tulis kenyataan tersebut.

Terdahulu, Saifuddin tiba di Baku dan mengadakan sidang media bersama delegasi media Malaysia bagi memaklumkan mengenai pengesahan kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sidang Kemuncak ke-18, di sini.

Sementara itu, S. Jaishankar dalam kemaskini di laman Twitter berkata, "Berbual secara terang dan terbuka dengan rakan sejawat dari Malaysia @saifuddinabd berkaitan isu-isu berbangkit."

Bagaimanapun, fokus perbincangan kedua-dua menteri itu tidak dimaklumkan dengan lebih terperinci, namun ia dijangka berkaitan isu minyak sawit melibat Malaysia dan India.

Beberapa laporan sebelum ini memaklumkan India sedang mempertimbangkan untuk menyekat import beberapa produk dari Malaysia termasuk minyak sawit selepas Malaysia mengkritik India kerana tindakannya di Kashmir.

Bagaimanapun, kerajaan India belum membuat sebarang kenyataan rasmi mengenai gesaan tersebut.

Untuk rekod, India membeli lebih daripada 9 juta tan minyak sawit setiap tahun, terutamanya dari Indonesia dan Malaysia.