Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan bahawa kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terlibat rasuah berhubung isu proses pensijilan halal Malaysia.

Mujahid berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak SPRM.

Katanya, siasatan itu penting berikutan dakwaan tersebut boleh menjejaskan nama baik Jakim selain memberi gambaran buruk terhadap sijil halal Jakim yang diiktiraf di seluruh dunia.

Jelas Mujahid, pihak Jakim sendiri sedang menjalankan siasatan dalaman dan berharap isu berkenaan dapat diselesaikan dengan segera.

"Kita telah melakukan siasatan dalaman dan sedang berjalan, siasatan dalaman. Diharap kita akan dapat gambaran jelas. Saya masih tidak puas hati dan saya minta SPRM segera masuk.

"Tidak ada halangan, SPRM berpandukan artikel itu, untuk kami sambut. Datanglah ke bahagian Halal Jakim untuk buat siasatan. Sebab ini penting untuk saya selaku menteri yang menjaga Jakim, tiada apa yang hendak dilindungi kerana (isu ini) menjejaskan nama baik Halal Jakim yang diterima seluruh dunia," katanya selepas menyampaikan ucaptama di Simposium Wakaf Negeri Pulau Pinang Satu Evolusi, yang di rasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman di sini pada Isnin.

Mujahid berkata demikian ketika di tanya berhubung satu artikel bertajuk Krisis Halal Malaysia diterbitkan oleh laman web Asia Sentinel pada 10 Okt lepas yang mendakwa kakitangan Jakim mempunyai beberapa isu seperti tidak cekap dan masalah integriti dalam urusan mengeluarkan Sijil Halal Malaysia.

Artikel berkenaan antara lain mendakwa pegawai Jakim meminta bayaran bagi mendaftarkan premis memproses daging, tidak membantu dan sombong.

Mengulas mengenai artikel itu Mujahid berkata dakwaan itu jelas menjejaskan imej Jakim.

Justeru pihaknya menggesa penulis artikel terbabit dan semua pihak untuk tampil mengemukakan bukti bagi diteliti serta diambil tindakan sewajarnya.