Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyerahkan kepada pejabat agama mana-mana negeri untuk menahan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang didakwa oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai berfahaman Syiah.

"(Soal penahanan) Itu kita (JAKIM) serah kepada (Jabatan Agama Islam) negeri," katanya selepas merasmikan karnival zakat di perkarangan Masjid Muaz bin Jabal di Setiawangsa, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung pendedahan 10 bukti yang mendakwa Mohamad terlibat dengan fahaman Syiah.

Jamil Khir berkata pihaknya akan membuat perbincangan lanjut dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung pendedahan tersebut.

"Itu (isu Mat Sabu) kita bincang dengan KDN nanti," katanya.

Pada hari Khamis, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi mengesahkan “orang nombor dua PAS” yang didedahkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengikut fahaman Syiah adalah Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu.

Abdul Rahim berkata kenyataan itu adalah berdasarkan 10 fakta dan maklumat yang dikumpul oleh KDN termasuk keterangan daripada Mohamad sendiri.

Bagaimanapun, Mohamad Sabu menyifatkan ‘bukti-bukti’ yang disebutkan oleh KDN sebagai fitnah.

Sementara itu, ketika mengulas cadangan penubuhan 'Polis Syariah', Jamil berkata beliau akan berbincang lebih lanjut tentang perkara tersebut dengan Zahid secepat mungkin.

Beliau turut mengalu-alukan cadangan yang dibuat oleh Naib Presiden UMNO itu dan menjelaskan 'Polis Syariah' itu akan diletak di bawah kuasa jabatan agama Islam negeri.

"Kita alu-alukan cadangan tersebut dan akan berbincang dengan Datuk Zahid secepat mungkin," katanya lagi.

Dalam satu temubual bersama Bernama TV pada Khamis, Zahid berkata KDN sedang memperincikan cadangan menubuhkan 'Polis Syariah' bertujuan membanteras ajaran sesat dan Syiah.