Pihak MRT Corp Sdn Bhd menegaskan sebarang isu tuntutan oleh penduduk Taman Sri Raya sudah diselesaikan dan bayaran penuh wang penyelesaian telah pun dibuat kepada pemilik rumah berkenaan melalui peguam mereka.

Dalam satu kenyataan hari ini, MRT Corp berkata, penerimaan tawaran itu dimuktamadkan pada awal tahun ini, dan ia dibuat atas nasihat peguam mereka sendiri.

Tambahnya lagi, sebarang kenyataan tidak puas hati atas jumlah pampasan yang diterima harus dituju kepada peguam mereka sendiri.


BACA: Pemilik Rumah Tuntut Pembelaan

“Pada November 2017, 20 daripada pemilik rumah yang terletak berdekatan dengan jajaran MRT telah bersetuju dengan jumlah wang penyelesaian yang ditawarkan. Mereka telah menandatangani perjanjian penyelesaian dengan MRT Corp pada permulaan tahun 2018.

“Melalui perjanjian tersebut, pihak-pihak berkenaan telah mencapai penyelesaian muktamad di mana pemilik rumah bersetuju untuk tidak menuntut sebarang ganti rugi lanjut daripada MRT Corp,” jelas syarikat berkenaan lagi.

Semalam, dalam satu sidang media, Badan Bertindak Jawatankuasa Penduduk Taman Sri Raya mendakwa pihak MRT Corp seolah-olah mengambil lewa tuntutan mereka terhadap kerosakan yang telah dialami sepanjang tempoh pembinaan laluan MRT itu.

Wakilnya Azahar Ibrahim berkata, pihaknya telah menyerahkan memorandum kepada pejabat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar kerajaan boleh melihat kembali perkara itu.

Beliau mendakwa, dalam tuntutan asal, terdapat 66 plaintif dan pihak MRT berjanji untuk menyelesaikan tuntutan kesemua yang terlibat. Namun sehingga ke hari ini, difahamkan hanya 20 orang sahaja yang menerima pembayaran itu.