Pengerusi Majlis Mesyuarat Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tan Sri Dr Ali Hamsa percaya isu pemilikan tanah melibatkan Felda di Jalan Semarak di sini, sedang diuruskan agensi itu secara menyeluruh.

Ali yang juga Ketua Setiausaha Negara, berkata perkara itu adalah berkaitan dengan Felda, justeru segala urusan berkenaan isu tersebut dilakukan agensi berkenaan.

"Saya rasa itu urusan Felda dan ia sedang diuruskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusingan U bertingkat baharu @Ekocheras berhampiran bulatan Cheras, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian secara ringkas apabila diminta mengulas mengenai pendedahan Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad semalam yang mendakwa agensi itu 'kehilangan' tiga bidang tanah miliknya di Jalan Semarak bernilai RM270 juta.

Shahrir juga dilaporkan berkata beliau terpaksa meminta bantuan Ali selaku Pengerusi Majlis Mesyuarat Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, untuk membantu mendaftarkan kaveat persendirian selepas usaha pihaknya meletakkan kaveat persendirian ke atas tanah itu dihalang atas alasan Felda tidak berhak kerana pemaju memiliki semua dokumen sah untuk pendaftaran.

BACA: 'Saya terpegun begitu mudah untuk pindah milik tanah dalam institusi seperti Felda' - Shahrir

Dalam perkembangan lain, Ali mahu rakyat Malaysia bersyukur dengan keadaan negara yang aman walaupun berbilang agama berbanding negara yang penduduknya ditindas.

"Kita sebagai penduduk sejagat di dunia, kita patut prihatin, membantu masyarakat-masyarakat yang tertindas di banyak kawasan di dunia termasuk di Palestin.

"Kita sebagai rakyat Malaysia perlu bersyukur, betapa amannya Malaysia, serba lengkap, serba cukup dan satu negara yang stabil yang sebenarnya banyak negara mencemburui kedudukan kita," katanya.

-- BERNAMA