Pertubuhan Pusat Aduan Rakyat Malaysia (PAR Malaysia) menerima 40 aduan setiap bulan membabitkan individu yang tidak memiliki taraf kewarganegaraan.

Pengerusinya, Datuk A. Chandrakumanan berkata antara faktor yang didapati menyumbang kepada isu tersebut ialah masalah dokumentasi serta latar belakang keluarga yang tidak lengkap.

Beliau bimbang sekiranya hal kewarganegaraan tidak diselesaikan akan menimbulkan isu sosial lain seperti masalah pendidikan, kewangan serta terlepas daripada menerima apa-apa bantuan kerajaan termasuk kebajikan.

"Daripada siasatan kami, pengadu tidak mempunyai bukti kelahiran di negara ini dan sijil perkahwinan mereka tidak sah, menjadi masalah utama isu tidak memiliki kad pengenalan ini timbul.

"Ada juga ibu bapa yang gagal membuat pengakuan mengenai bayi kelahiran di Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta kewarganegaraan asal mereka sehingga menyebabkan proses kewarganegaraan tergendala," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Chandrakumanan berkata individu berketurunan Cina dan India merupakan golongan yang paling ramai membuat aduan berhubung kewarganegaraan.

Beliau berkata pihaknya berjaya menyelesaikan 300 aduan berhubung masalah itu setelah syarat dokumentasi dilengkapkan dan ibu bapa atau ahli keluarga tampil memberi keterangan dan bukti.

"Dalam aduan kewarganegaraan ini kebanyakan kes diselesaikan selepas pengadu berjaya membawa bukti kukuh kelahiran bayi di klinik negara ini," katanya.

Mengulas lanjut, Chandrakumanan berkata PAR Malaysia akan bertindak mengenal pasti masalah yang dihadapi selain menyediakan laporan untuk diberikan kepada jabatan yang terlibat untuk mengambil tindakan sewajarnya.

"Kami akan kenal pasti apa masalah yang dihadapi pengadu untuk diselesaikan, kemudian akan kategorikan aduan itu melibatkan jabatan mana dan kami akan bantu sediakan dokumentasi serta surat sokongan untuk memastikan urusan jabatan dipermudahkan sekali gus membantu menyelesaikan aduan rakyat.

Sejak setahun penubuhan PAR Malaysia, sebanyak 1,150 aduan direkodkan membabitkan masalah berkaitan perumahan, kesihatan, pinjaman dan kewarganegaraan.