Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diseru agar segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelbagai isu yang dikaitkan dengan Tabung Haji.

Perkara itu sekali lagi disuarakan oleh Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menerusi program Berani Semuka anjuran Sinar Harian yang turut menampilkan Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bagi membincangkan polemik pengurusan Lembaga Tabung Haji.

Abdul Azeez merayu agar kerajaan PN menubuhkan RCI secepat mungkin dan beliau bersedia menjadi orang pertama untuk memberikan komitmen sepenuhnya untuk menentukan siapa benar.

"Saya merayu kepada Perikatan Nasional untuk menubuhkan RCI secepat mungkin dan saya bersedia untuk menjadi orang pertama yang memberikan komitmen sepenuhnya.

"Kita perlu tubuh RCI untuk menentukan siapa yang benar dan bukan hanya percaya kepada satu pihak," ujarnya.

BACA: 'Laporan kewangan Tabung Haji 2018 tidak dibentang, bukan tak buat' - Mujahid


Abdul Azeez turut memaklumkan, kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini hanya menyuarakan hasrat untuk menubuhkan RCI, namun sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan tersebut, tiada sebarang langkah penubuhan yang diambil.

"Apa yang dilakukan mereka hanyalah melaporkan kepada pihak berkuasa tetapi tiada sebarang tindakan susulan yang diambil.

"Jadi perkara itu menimbulkan keraguan. Dengan adanya RCI, sebagai sebuah penubuhan yang penting untuk menentukan siapa yang benar," jelasnya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memakumkan kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan dan kewajaran menubuhkan RCI.

Dr Zulkifli turut mengakui suatu badan bebas dan berkuasa harus diwujudkan untuk meneliti serta menilai transaksi TH.