PUTRAJAYA:Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyarankan agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat pemilihan lain bagi menggantikan nama Jalan Raja Laut 1 kepada Jalan Palestin.

Menurut Annuar Musa, beliau beranggapan jalan Raja Laut 1 mempunyai elemen sejarah yang tidak harus diganggu.

“Saya tidak galakkan jalan-jalan yang mempunyai kaitan sejarah, perjuangan negara dan bangsa 'diusik'.

“Terdapat banyak jalan yang sudah tidak begitu relevan terutamanya jalan yang tidak melambangkan jati diri bangsa yang tidak mempunyai impak yang boleh digantikan,” katanya ketika sidang media di Kementerian Wilayah Persekutuan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan kekeliruan orang ramai berhubung pemilihan Jalan Raja Laut 1 yang ingin digantikan kepada Jalan Palestin.

“Jalan Raja Laut itu tidak terlibat cuma cadangan itu melibatkan laluan pendek Jalan Raja Laut 1 yang jaraknya hanya 150 meter.

“Bagaimanapun saya telah menyarankan Datuk Bandar agar membuat pilihan lain dan berbincang perkara tersebut bersama pihak terlibat,” katanya lagi.

Sebelum ini, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan menyatakan idea menukar jalan berkenaan berikutan Himpunan Hari Al-Quds Sedunia yang diadakan di Dataran DBKL pada 26 hingga 31 Mei tahun lalu.