Isu tuntutan GST: Khairy buat laporan polis berhubung kenyataan Guan Eng

Isu tuntutan GST: Khairy buat laporan polis berhubung kenyataan Guan Eng
Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin (duduk, sut hitam), laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, siang tadi. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Rabu bahawa sejumlah RM18 bilion wang tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sepatutnya dibayar balik kepada peniaga telah 'hilang'.

Khairy berkata kenyataan yang dibuat oleh Guan Eng di Dewan Rakyat berhubung isu berkenaan merupakan tuduhan yang serius dan memerlukan bukti yang kukuh.

“Guan Eng berkata Kementerian Kewangan akan membuat siasatan dalaman, bagi saya ini tidak mencukupi. Kalau sekiranya dibuat satu tuduhan 'rompakan’ ia mesti dibuat dalam siasatan yang terbuka.
“Oleh sebab itu saya mengambil keputusan untuk buat laporan polis pada hari ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, siang tadi.

Jelasnya, Barisan Nasional juga hendak membersihkan nama kerajaan yang lepas, sekiranya berlaku ‘rompakan’ seperti yang dikatakan.

Khairy juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), esok berhubung perkara yang sama.

Semalam, ketika membentangkan Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) (Pemansuhan) 2018 di Dewan Rakyat, Lim berkata, kerajaan akan berusaha melunaskan tunggakan tuntutan cukai input bagi GST mulai tahun depan.

Katanya, tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak 1 April 2015 hingga 31 Mei lepas berjumlah RM19.4 bilion, bagaimanapun, baki semasa dalam tabung bayaran balik hanya RM1.49 bilion, bermakna berlaku kekurangan kira-kira RM18 bilion.

Susulan itu, satu siasatan dalaman giat dilakukan oleh Kementerian Kewangan bagi mengenal pasti punca pengurangan RM18 bilion itu.