Keputusan mengenai status Zakir Naik tidak akan dibuat selagi kerajaan tidak menerima sebarang permohonan rasmi dari India untuk mengekstradisi pendakwah itu.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata setakat ini tiada permohonan rasmi dibuat oleh India dalam hal ini.

"Setakat hari ini, baik Kementerian Luar ataupun kami (KDN), masih belum lagi menerima permohonan secara rasmi untuk mengekstradisi Dr Zakir Naik. Belum ada apa-apa lagi.

"Selagi belum terima, kita tidak akan ambil apa-apa tindakan dan tidak akan buat apa-apa keputusan," katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kementerian Dalam Negeri di Serdang, pada Khamis.

Mahkamah di India semalam mengarahkan pendakwah terkenal, Zakir Naik hadir di mahkamah pada 31 Julai depan atau berdepan risiko dikenakan waran tangkap.

BACA: Zakir Naik diarah hadir ke mahkamah

Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata kerajaan belum menerima sebarang permohonan daripada Kerajaan India bagi mengekstradisi pendakwah tersebut.

Beliau berkata kenyataan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Zakir Naik baru-baru ini adalah pendirian kerajaan buat masa ini.

Pada 10 Jun lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata Malaysia mempunyai hak sama ada mahu menghantar pulang atau tidak pendakwah terkenal itu ke negara asalnya selepas kerajaan India dilihat begitu terdesak untuk menahan Zakir Naik atas tuduhan pengubahan wang haram di India.

Pendirian itu ditegaskan Dr Mahathir selepas mengambil kira tindakan Kerajaan Australia yang sebelum ini tidak menghantar pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sirul Azhar Umar yang dijatuhi hukuman mati mandatori pada 2015 atas tuduhan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Pihak berkuasa India turut dilaporkan cuba mendapatkan kerjasama polis antarabangsa (Interpol) untuk menahan Zakir Naik, sekali gus mengekstradisinya ke negara itu dari Malaysia.

Pada Disember 2017, Interpol menarik semula notis merah ke atas Zakir Naik selepas menolak permohonan dikemukakan Agensi Penyiasatan Kebangsaan India (NIA) kerana ia tidak lengkap dan tidak memfailkan sebarang kertas pertuduhan terhadap pendakwah itu.