Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menerbitkan terjemahan karya agung Faust, sebuah drama klasik Jerman karya Johann Wolfgang Von Goethe.

Ia diterbitkan atas dasar bahawa wacana sastera dunia yang bermutu tinggi harus diketengahkan dalam masyarakat pembaca berbahasa Melayu di negara ini.

Karya dengan latar belakang sejarah awal abad ke-20 Eropah itu diterjemahkan oleh penyair dan pelukis ulung negara, Latiff Mohidin.

Faust memerihalkan naluri manusia yang ingin menuju kesempurnaan, serta sanggup mengorbankan jiwa raga demi mengejar keasyikan dan kesenangan dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd Khair Ngadiron berkata, ITBM memilih naskah ini kerana ia memaparkan nilai ilmiah, fasafah dan estetika yang tinggi serta keperibadian insan yang bergejolak dalam diri untuk menangani soal moral.

"Faust ini adalah drama pentas dunia yang banyak sebenarnya memberikan falsafah tentang kemanusiaan dan kita merasakan bahawa itu perlu dikongsi oleh masyarakat Malaysia," katanya kepada Astro Awani selepas majlis pelancaran buku terjemahan tersebut di sebuah hotel, pada Khamis.

Sebagai penterjemah Faust, Latiff mengatakan, karya klasik itu sememangnya sudah lama mahu beliau terjemahkan.

Latiff sebelum ini menterjemahkan antaranya puisi agung Rabindranath Tagore, Gitanjali serta puisi-puisi Jalaludin Rumi, Omar Khayyam and Tao Te Ching.

Langkah ITBM menterjemahkan Faust itu juga mendapat sambutan sasterawan dan seniman tempatan. Mereka rata-rata menyifatkannya sebagai satu langkah bijak yang harus dibanggakan. Selebihnya, ia masih relevan dengan masyarakat sekarang biarpun ditulis pada awal abad ke-19.

Naskah terjemahan Faust ini dijual dengan harga RM150 senaskah di Semenanjung Malaysia manakala RM165 senaskah di Sabah dan Sarawak.

Buku ini juga boleh didapati di Kedai Buku 1Malaysia atau rangkaian kedai buku utama di seluruh negara dan boleh juga dibeli secara dalam talian di sini.