Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) kini menunggu arahan selanjutnya dari Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menamakan calon baru untuk mengganti kerusi Pengerusi Lembaga Pengarah yang dikosongkan Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh apabila kontrak khidmat beliau dihentikan semalam.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, ITBM meminta Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk mencadangkan pelantikan baru yang selaras dengan kuasa khas yang diperuntukkan Artikel 135(1) Syarikat ITBM.

"ITBM mengambil maklum kenyataan Mahdzir yang dikeluarkan pada Jumaat, 7 Oktober, berhubung penamatan kontrak Shahruddin berikutan tindakannya menyertai dan menerima pelantikan sebagai Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diumumkan Khamis lalu.

"ITBM ingin menyatakan terima kasih kepada Menteri Pendidikan atas tindakan ini sekali gus menamatkan kemelut negatif yang tiba-tiba menyerang ITBM apabila dituduh membawa agenda sulit pembangkang."

Dalam masa yang sama, ITBM turut menegaskan bahawa ia merupakan syarikat berkaitan kerajaan di bawah Kementerian Kewangan dan kawal selia Kementerian Pendidikan Malaysia yang komited dalam melaksanakan tanggungjawab sebagaimana diamanahkan kerajaan Malaysia.

"Objektif serta matlamat ITBM jelas berpandukan kepada misi mengangkat serta mengantarabangsakan khazanah ilmu serta sastera negara, dan ia selama ini dilaksanakan dengan penuh jujur dan amanah.

"Justeru, kami sekali lagi menyatakan pendirian menolak sebarang usaha negatif yang dengan sengaja bertujuan merosakkan keampuhan sebuah organisasi yang komited melaksanakan tanggungjawabnya kepada negara."

ITBM turut menegaskan bahawa ia hanya mempunyai tanggungjawab kepada negara dan bukan sebarang individu atau parti politik.

Semalam, Mahdzir mengesahkan penamatan jawatan Shahruddin menerusi pesanan aplikasi WhatsApp kepada Astro AWANI.

"Apabila dia (Shahruddin) jadi setiausaha parti pembangkang, buat apa hendak bagi dia berkhidmat dengan kerajaan lagi," ujarnya ringkas.