"Itu hak dan kuasa negeri. Tidak perlu ulas banyak," demikian merupakan reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom susulan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menitahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) supaya berhenti berurusan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau menyifatkan orang ramai sedia maklum bahawa hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Hal agama adalah di bawah kuasa negeri... semua orang tahu mengenai perkara ini dan tidak perlu untuk ulas lanjut," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar NGO Islam dan Majlis Penyerahan Sumbangan kepada NGO Islam 2017 di sini hari ini.

Baru-baru ini, Sultan Ibrahim bertitah, JAKIM tidak perlu lagi memberi pandangan kepada Johor membabitkan hal ehwal agama Islam.

Dalam pada itu, beliau dan Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha telah mengutuskan surat perkenan mohon menghadap kepada Sultan Ibrahim.

"Kita telah menghantar surat dan InsyaAllah apabila Tuanku titah, kita akan menghadap. Kita hantar surat hari yang sama," ujarnya.

Tindakan segera JAKIM bertujuan menjelaskan situasi sebenar isu pegawai kadernya, Zamihan Mat Zain, yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Sultan Ibrahim ketika menyampaikan ceramah mengenai isu dobi mesra Muslim seperti yang viral di media sosial.

Jamil Khir pada masa sama enggan mengulas siasatan Lembaga Tatatertib JAKIM terhadap Zamihan sebaliknya menyerahkan siasatan penuh kepada polis.

Pada 11 Oktober lalu, JAKIM merujuk Zamihan, yang juga Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) kepada Lembaga Tatatertib jabatan.