ADUN Pekan Nanas, Yeo Tung Siong menegaskan majlis sumbangan anjuran persatuan bukan kerajaan (NGO) kepada golongan kurang berkemampuan sempena Aidilfitri pada 26 Mei lalu diadakan di pejabat persatuan bukan rumah ibadat sebagaimana yang tular di media sosial.

Beliau yang menghadiri majlis berkenaan turut dituduh menggunakan wang zakat bagi memberi sumbangan kepada golongan orang Islam.

Katanya, gambar yang tular di media sosial itu merupakan gambar aktiviti yang dianjurkan sebuah persatuan kebajikan untuk memberi sumbangan kepada golongan miskin dan memerlukan sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Saya dijemput persatuan kebajikan tersebut untuk menghadiri upacara penyampaian sumbangan kepada golongan yang memerlukan bantuan.

“Oleh itu, tuduhan bahawa saya menggunakan wang zakat adalah tidak berasas kerana persatuan kebajikan tersebut menggunakan tabung kebajikan mereka untuk menjalankan aktiviti amal.

“Pada pandangan saya, tuduhan bahawa saya menggunakan wang zakat untuk disampaikan dalam rumah ibadat bukan Islam adalah suatu tuduhan yang amat serius,” katanya.

Tegasnya lagi, tempat berlangsungnya program adalah pejabat persatuan tersebut dan bukannya rumah ibadat bukan Islam seperti yang ditularkan.

Tung Siong berkata, beliau telah membuat laporan polis semalam dan memohon pihak polis membuat siasatan terperinci terhadap tuduhan tersebut.

"Saya menyeru kepada semua pihak supaya jangan menyebarkan maklumat palsu dan menimbulkan perasaan prasangka yang buruk di antara kaum dan agama.

"Sebagai manusia biasa yang tidak dapat mengelakkan diri dari berlakunya sebarang kelemahan, kekurangan dan kekhilafan, saya mengakui kesilapan saya kerana tidak cukup peka dalam menangani isu-isu sensitif seperti agama dan bangsa dalam proses penyampaian sumbangan.

"Saya memohon maaf secara ikhlas sekiranya artikel dan gambar-gambar tersebut mengundang perasaan tidak selesa kepada mana-mana pihak. Sebarang kesulitan yang timbul akibat daripada kesilapan ini amat saya kesali," katanya.