Dua daripada sembilan jabatan/agensi negeri Pulau Pinang mencapai tahap cemerlang dalam prestasi pengurusan kewangan bagi tahun kewangan 2017.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1, lima jabatan/agensi lagi mencapai tahap baik, dan dua memuaskan.

Laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin itu menyatakan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jabatan Kerja Raya Negeri menunjukkan tahap cemerlang manakala Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri dan Lembaga Muzium Negeri berada di tahap memuaskan.

Lima jabatan/agensi yang menunjukkan tahap baik adalah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Pertanian, Jabatan Kehakiman Syariah, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan dan Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Timur Laut.

"Analisis Audit terhadap prestasi pengurusan kewangan pada tahun 2017 mengikut elemen kawalan bagi tujuh jabatan negeri mendapati tiga daripada lapan kawalan berada pada tahap cemerlang, empat pada tahap baik dan satu kawalan pada tahap memuaskan.

"Analisis Audit terhadap prestasi pengurusan kewangan pada tahun 2017 mengikut elemen kawalan bagi dua agensi negeri pula mendapati empat daripada sembilan kawalan berada pada tahap cemerlang, tiga pada tahap baik dan masing-masing satu kawalan berada pada tahap memuaskan dan kurang memuaskan," menurut laporan itu.

Lapan kawalan bagi tujuh jabatan itu merangkumi pengurusan, bajet, terimaan, perolehan, perbelanjaan, amanah, aset dan stor, dan kenderaan manakala sembilan kawalan bagi dua agensi berkenaan adalah pengurusan, bajet, terimaan, perolehan, perbelanjaan, KW pinjaman dan deposit, aset dan stor, pelaburan dan pinjaman, serta penyata kewangan.

Menurut laporan itu, secara keseluruhannya prestasi kewangan jabatan/agensi negeri Pulau Pinang bagi tahun 2017 berada pada tahap baik berdasarkan kepada markah keseluruhan pematuhan terhadap peraturan pengurusan kewangan.

Bagaimanapun, menurut laporan itu beberapa jabatan/agensi perlu mempertingkat dan memantapkan kawalan dalaman pengurusan kewangan supaya isu yang dibangkitkan tidak berulang serta mengurangkan risiko ketidakpatuhan yang lebih serius.

Sehubungan itu, laporan itu mengesyorkan jabatan/agensi supaya melakukan pemeriksaan secara menyeluruh untuk menentukan sama ada kelemahan yang dibangkitkan oleh Jabatan Audit Negara juga berlaku di bahagian lain memandangkan pengauditan yang dijalankan berdasarkan sampel dan skop yang terhad.

Selain itu, Ketua Audit Negara turut mencadangkan jabatan/agensi menjalankan penyeliaan yang lebih rapi terhadap kerja yang dilaksanakan oleh pegawai bawahan yang terlibat dalam pengurusan kewangan untuk memastikan peraturan kerajaan yang ditetapkan sentiasa dipatuhi serta penglibatan secara 'hands on' dalam urusan tersebut. -- Bernama