Jabatan Kesihatan Negeri Pahang pada Jumaat menafikan laporan kononnya terdapat 64 kes jangkitan malaria zoonotik yang dirawat di wad pediatrik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, seperti yang tular di media sosial sejak 19 Disember lepas.

Pengarahnya Dr Sha'ari Ngadiman menegaskan bahawa maklumat tersebut tidak tepat dan tidak menggambarkan situasi sebenar jangkitan malaria zoonotik di Pahang.

"Pada 2017 dari Januari hingga 16 Disember lepas, sejumlah 85 kes malaria dilaporkan di seluruh Pahang dan daripada jumlah itu, 77 kes (91 peratus) merupakan kes malaria zoonotik manakala selebihnya lapan kes (9 peratus) kes import jangkitan human malaria," katanya dalam kenyataan di sini.

Berdasarkan jumlah keseluruhan kes malaria zoonotik itu, katanya daerah paling tinggi dilaporkan adalah Lipis sebanyak 38 kes, Jerantut (15 kes), Rompin (6 kes), Temerloh (5 kes), Bera (4 kes), Kuantan (3 kes), Maran (2 kes), Raub (2 kes) dan masing-masing satu kes di Bentong dan Cameron Highlands.

Setakat ini, beliau berkata hanya satu kes kematian malaria dilaporkan di Pahang yang berlaku di daerah Lipis.

Dr Sha'ari berkata jangkitan malaria zoonotik merupakan jangkitan sejenis parasit malaria iaitu Plasmodium Knowlesi yang berasal dari monyet dan disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Anopheles.

Katanya jangkitan itu boleh dirawat dengan rawatan menggunakan ubat Artemisinin Combination Therapy (ACT).

Kejadian jangkitan, katanya sering berlaku di kawasan hutan atau pinggir hutan yang terdapat kehadiran populasi monyet yang berkemungkinan menjadi pembawa parasit malaria zoonotik.

Beliau berkata majoriti jangkitan malaria zoonotik berlaku kepada individu yang menjalankan aktiviti di dalam hutan seperti memburu, mencari hasil hutan atau melawat kawasan rekreasi hutan.

Sejak 19 Dis lalu, tular di media sosial kononnya terdapat 64 kes jangkitan malaria zoonotik dirawat di HTAA, dikatakan kebanyakan mangsa mendapat jangkitan setelah melawat kawasan peranginan di Teluk Chempedak yang mempunyai banyak habitat monyet. -- Bernama