Jabatan Kimia menafikan tuduhan badan bukan kerajaan (NGO) kononnya agensi tersebut mengambil sampel air dari sungai lain dan bukan Sungai Lebir yang menjadi sumber bekalan minuman masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh.

Ahli Kimia di Jabatan Kimia Malaysia Dr Mohamad Rafiq Sulaiman berkata sampel air tersebut diambil oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di enam lokasi di kawasan perkampungan tersebut berpandukan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

"Hasil analisis kami mendapati tiada sebarang pencemaran logam berat atau bahan kimia. Pada masa sama, analisis kimia yang kami lakukan menemukan bakteria e-coli," katanya kepada pemberita di Felda Aring 10 di sini, hari ini.

Beliau berkata bakteria e-coli yang sering ditemukan di semua sungai di seluruh negara boleh dihapuskan dengan cara merebus air sungai sebelum diminum dan bukan menjadi penyebab kepada kematian 14 Orang Asli sebelum ini.

Jumaat lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata penularan penyakit yang masih belum dikenalpasti dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Batek itu bukan disebabkan aktiviti perlombongan bijih mangan (keluli).

Dr Wan Azizah dipetik sebagai berkata keputusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kimia pada Rabu (12 Jun) lepas secara keseluruhan mendapati kualiti air di kawasan persampelan iaitu Sungai Lebir adalah mematuhi Standard Kualiti Air Minum Kebangsaan Bagi Air Mentah.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Azizan Abu Taat berkata beliau kecewa ada pihak cuba memburukkan keadaan dengan mendakwa bahawa penduduk di perkampungan tersebut tidak diberi bekalan air bersih.

Azizan berkata dalam lawatannya kira-kira 30 minit pada hari ini mendapati terdapat tiga sumber air bersih di Kampung Kuala Koh merangkumi telaga tiub, tadahan air bukit serta tangki Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Masyarakat Orang Asli yang tinggal di Kampung Kuala Koh itu, mula menjadi perhatian selepas 14 orang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan penyakit yang tidak diketahui puncanya.

Namun hasil bedah siasat terhadap dua mayat sebelum ini mendapati mangsa meninggal dunia akibat jangkitan radang paru-paru (pneumonia).

-- BERNAMA