Jabatan Mufti Perlis hari ini mengeluarkan garis panduan sambutan Aidilfitri di negeri ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Menurut Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), garis panduan tersebut telah mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

"Panduan dikeluarkan selaras dengan tuntutan untuk membesarkan sambutan Aidilfitri, serta keperluan untuk disesuaikan dengan situasi penularan wabak semasa.

"Ia dibuat setelah mengambil kira dan mempertimbangkan pandangan-pandangan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," menurut MAIPs.

Menurutnya, solat sunat Aidilfitri di Perlis pada tahun ini tidak dilaksanakan di masjid, sebaliknya boleh ditunaikan di rumah masing-masing bersama ahli keluarga.

Menurut MAIPs, isi kandungan panduan tersebut adalah mengenai takbir hari raya, solat hari raya, khutbah hari raya, amalan sunat hari raya dan kewajipan menunaikan zakat fitrah.

Katanya risalah panduan berkenaan boleh dimuat turun di Laman Portal Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis melalui pautan khas https://mufti.perlis.gov.my/index.php/khutbah/category/11-teks-khutbah-dan-panduan-menyambut-idil-fitri-musim-pkp-covid-19-tahun-2020.

Teks khutbah pula boleh didapati sama ada dengan kaedah 2 khutbah atau 1 khutbah yang boleh dimuat turun daripada Laman Portal Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis melalui pautan https://mufti.perlis.gov.my/index.php/khutbah.

-- BERNAMA