Pejabat Peguam Negara memaklumkan telah menerima kertas siasatan berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang Selasa.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pihaknya menubuhkan dua pasukan khas bagi meneliti kertas siasatan terbabit biarpun memerlukan sedikit masa, namun mengambil maklum akan keperluan penelitian perkara berkenaan dengan kadar segera.

“Bagi memastikan tugas ini dapat dilaksanakan secara berkesan, saya menubuhkan satu pasukan untuk mengkaji kertas siasatan berkenaan dengan tujuan untuk memulakan pendakwaan jenayah jika ada.

“Satu lagi pasukan lain adalah untuk mengkaji daripada sudut prosiding guaman yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau berkata, kedua-dua pasukan itu akan dianggotai pegawai terdiri daripada Timbalan Pendakwaraya dan Peguam Kanan Persekutuan berpengalaman yang akan terus melaporkan hasil kajian kepadanya.

“Saya sudah menandatangani permohonan untuk bantuan bersama dalam perkara jenayah daripada Switzerland, Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Emeriyah Arab Bersatu.

“Harapan saya adalah agar dapat mengambil tindakan lanjut serta menjalin kerjasama dengan mereka,” katanya lagi.