Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan akan membuat satu laporan polis mengenai berita palsu di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018 berhubung dakwaan oleh Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa.

Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Datuk Zahari Ibrahim dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan Husam itu kerana ianya merupakan satu dakwaan tidak benar.

Katanya, dakwaan bahawa ada kelulusan baharu kawasan pembalakan yang luas akan dipertimbangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perhutanan yang diadakan pagi tadi tidak benar sebaliknya hanya melibatkan pengesahan minit mesyuarat yang lepas.

Selain itu, tegas Zahari lagi, mesyuarat berkenaan turut mengesah dan melaksanakan keputusan dari mesyuarat lepas, menimbang permohonan industri pemprosesan kayu negeri Kelantan dan membincangkan isu-isu semasa berkaitan pemuliharaan hutan.

Katanya, kerajaan negeri menegaskan masih mengekalkan rekod tidak pernah memberikan kelulusan kawasan baru pembalakan terutama melibatkan penubuhan ladang hutan dan hutan simpan kekal sejak dari tahun 2013 lagi.

Husam pagi tadi menghantar satu notis kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menggesa agar tidak mengeluarkan sebarang kelulusan baharu kawasan pembalakan dalam mesyuarat berkenaan.

Husam yang berkunjung ke pejabat Ahmad menyerahkan surat kepada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Shamsul Abu Bakar selepas hajatnya untuk menemui Ahmad tidak berhasil sewaktu mesyuarat berkenaan berlangsung.