Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak mempertingkatkan jumlah tenaga kerjanya untuk menangani wabak rabies atau anjing gila di 46 kawasan yang terjejas di negeri ini, dengan pengambilan 28 orang pembantu veterinar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Douglas Uggah Embas berkata pembantu veterinar itu akan ditugaskan di seluruh negeri sebaik sahaja mereka selesai menjalani latihan yang diperlukan.

"Mereka (pembantu veterinar) telah melapor diri untuk bertugas. Kami sebelum ini telah mengumumkan bahawa kami akan mendapatkan tenaga kerja tambahan dan merekalah orangnya," kata Uggah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Pegawai baharu itu akan dibahagikan kepada enam pasukan yang meliputi tugas suntikan vaksin, pemantauan, makmal, kuarantin, penguatkuasaan dan pembangunan ternakan selepas mereka ditempatkan di beberapa bahagian serta cawangan dalam jabatan berkenaan.

Sementara itu, menurut portal rasmi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, sejumlah 100,757 haiwan, termasuk 92,208 anjing serta 8,495 kucing, diberi suntikan anti rabies setakat 28 Okt dan 268 sampel didapati positif rabies.

Perangkaan itu juga menunjukkan dari 1 April 2017 sehingga 28 Okt, 15,843 kes terkumpul gigitan haiwan telah dilaporkan manakala jumlah terkumpul 5,592 orang telah menerima suntikan anti rabies.

-- BERNAMA