Menjadi orang Melayu tidak bermakna seseorang itu tidak perlu mempelajari Bahasa Melayu, ujar Pakar Bahasa, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim.

Ia berikutan bahasa disifatkan sebagai suatu kemahiran yang perlu dipelajari dan difahami bagi memastikan tidak berlaku kekeliruan dalam masyarakat.

"Masalah berpunca daripada orang Melayu, dia rasa dia pandai berbahasa Melayu, memang dari kecil lagi dia pandai, tidak perlu belajar. Namun, bahasa Melayu dalam situasi rasmi tidak sama dengan sehari-hari atau Bahasa Melayu basahan," katanya selepas Sesi Bersama Penulis Tatabahasa Dewan di MAEPS di sini pada Khamis.

Tegasnya, masih ramai orang Melayu yang tidak dapat menguasai pembelajaran bahasa kebangsaan itu.

"Orang Melayu termasuk pelajar-pelajar Melayu, dia rasa dia sudah pandai dan dia tidak mahu belajar lagi. Sebaliknya orang bukan Melayu, dia tahu dia tidak pandai Bahasa Melayu, jadi dia belajar," kata beliau.

Beliau juga kecewa apabila dalam sesetengah peperiksaan, markah pelajar bukan Melayu adalah lebih tinggi daripada pelajar Melayu.

"Bukan kerana pelajar Melayu tidak pandai, tetapi mereka tidak tahu menggunakan bahasa dalam situasi rasmi," jelasnya lagi.

Beliau pada masa sama, menggesa semua pihak agar tidak hanya mengagumi Bahasa Inggeris sehingga mengabaikan Bahasa Melayu.

"Bahasa Inggeris penting tetapi jangan kita ketepikan bahasa kita sendiri sehingga kita tidak pandai. Bahasa ini kemahiran, jadi kita kena mempelajarinya," tegas beliau.

Beliau juga bimbang dengan masa depan Bahasa Melayu terutama dalam menghadapi cabaran media sosial.

"Saya bimbang bentuk seperti bahasa ringkas akan terbawa-bawa dalam peperiksaan. SMS tidak salah, tetapi digunakan dalam peperiksaan akan jadi salah," ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan anak-anak muda memanfaatkan kelebihan mereka untuk mempelajari dan memartabatkan Bahasa Melayu.