Pilihanraya Amerika Syarikat yang menyaksikan kemenangan Donald Trump ke atas calon pilihan Hillary Clinton harus menjadi teladan buat parti politik di Malaysia.

Setiausaha Agung Democratic Action Party (DAP) Lim Guan Eng berkata kenyataan bersifat rasis dan ekstrem yang dibawa Trump tidak akan berjaya jika Amerik Syarikat tidak mengalami krisis ekonomi.

"Namun isu utama pilihan raya Amerika Syarikat adalah berkenaan ekonomi.

"Keadaan ekonomi yang mengabaikan golongan pertengahan menyebabkan pengundi memilih untuk menukar kerajaan.

"Begitu juga Barack Obama sewaktu permulaannya dahulu. Beliau dipilih kerana rakyat di Amerika Syarikat menghadapi krisis keruntuhan ekonomi 2007-2008," katanya sewaktu berucap di Konvensyen Pakatan Harapan di sini, hari ini.

Jelas Guan Eng, Malaysia juga sedang menghadapi krisis ekonomi.

Dengan penarikan subsidi akibat dari kesan keruntuhan harga minyak yang menghadkan pendapatan negara, Guan Eng berkata beliau yakin rakyat Malaysia mahukan perubahan.

"Apabila kita lihat nilai Ringgit yang semakin rendah akibat keadaan ekonomi dunia, ramai dikalangan rakyat yang merasa kesannya.

"Saya tahu pendapatan dikalangan peniaga kecil merosot kerana pengenalan GST. Malah ada yang beritahu saya bahawa tiada satu bulan pun tahun ini mereka mendapat keuntungan," katanya.