Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap kesemua atlet yang bertanding dalam Sukan Asia mengambil contoh semangat jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai galakan untuk mencipta kejayaan dalam edisi tahun ini.

Biarpun tidak dapat bersama kontinjen negara, semangat juang Chong Wei diharap akan menyuntik inspirasi mereka untuk bersaing dan memberi persembahan terbaik.

"Beliau tidak dapat bersama anda semua, namun sematkan semangat beliau bersama anda setiap masa.

"Pastikan lagu 'Negaraku' berkumandang sekerap yang mungkin di sana nanti. Kita doakan juga beliau akan cepat sembuh," kata Dr Mahathir ketika berucap dalam acara penyerahan Jalur Gemilang di Putrajaya, hari ini.

Beliau juga mengimbas bagaimana semangat atlet negara sewaktu temasya Sukan Komanwel ke 16 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 1998, yang menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah berjaya menempatkan diri di tempat keempat.

"Nama-nama seperti Sapok Biki dan Hidayat Hamidon antara yang dikenang sebagai wira sehingga kini. Anda juga berpeluang mencipta sejarah sedemikian.

"Jika tahun 2014 kita di kedudukan ke-14, tahun ini tidak mustahil kita boleh capai kedudukan 10 terbaik," kata beliau.

Pada edisi kali ini, Malaysia mensasarkan untuk memenangi tujuh pingat emas.

Seramai 426 atlet akan membawa nama negara di temasya sukan kedua terbesar selepas Sukan Olimpik itu, yang akan berlangsung di Jakarta dan Palembang bermula 18 Ogos hingga 2 September ini.