Tutup

Jadikan tahu bahasa Melayu syarat dapat kad pengenalan - Zainal Kling

Jadikan tahu bahasa Melayu syarat dapat kad pengenalan - Zainal Kling
Kanak-kanak perlu tahu bahasa kebangsaan sebelum mendapat kad pengenalan warganegara Malaysia, kata tokoh akademik Datuk Dr Zainal Kling. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kanak-kanak perlu tahu bahasa kebangsaan sebelum mendapat kad pengenalan warganegara Malaysia.

Tokoh akademik Datuk Dr Zainal Kling menegaskan, rakyat Malaysia yang tidak tahu berbahasa Melayu sepatutnya mendapat kad merah atau kerakyatan sementara, sehingga mereka tahu berbahasa Melayu.

Beliau turut berpendapat, kerajaan harus bersiap sedia menghadapi kedatangan warga asing yang membeli rumah di negara ini.

"Sebelum mendapat kad pengenalan, kalau dia tidak tahu berbahasa Melayu iaitu bahasa negaranya,
jangan bagi kad pengenalan biru. Sebaliknya, bagi kad merah kalau mereka tidak tahu bahasa Melayu.
 
"Ini sangat penting difahami kerana Kuala Lumpur akan menerima banyak penghuni dari luar negara sebagai pembeli rumah dalam bandar Malaysia. Ratusan ribu orang asing juga akan membeli rumah dalam bandar Diraja di Johor.
 "Bayangkan selepas 15 tahun atau anak-anak mereka yang lahir di sini akan mendapat status penduduk tetap atau 'PR' tanpa menguasai bahasa Melayu. Suatu hari nanti mereka akan dapat kerakyatan pula, maka kita harus mula dari sekarang," katanya semasa Majlis Wacana Bahasa Melayu Wasiat Keenam Raja-Raja Melayu di sini hari ini.
 
Dr Zainal menjelaskan, kerajaan seharusnya memberi penekanan kepada pembelajaran di dalam bahasa Melayu dan bukan bahasa lain.

Selain itu tambahnya, ramai naib cancelor terpaksa mengabaikan kegiatan ilmuan dalam bahasa Melayu di universiti kerana mengejar ranking.
Keadaan memaksa perkara ini berlaku dan akhirnya bahasa Melayu seperti anak tiri di bumi sendiri.

Wacana yang berlangsung di Dewan Besar Utusan Melayu itu Berhad diadakan hasil kerjasama antara Kumpulan Utusan dengan kerjasama Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Selain Dr Zainal, turut menjadi panelis adalah peguam, Fatihah Iliani Jamhari dan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Sementara Profesor Datuk Dr. Firdaus Abdullah menjadi pemudah cara.