Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik melahirkan rasa sedih dengan beberapa kejadian pelajar yang cedera parah akibat bermain mercun setiap kali sambutan Aidilfitri.

Katanya, dalam kegembiraan menyambut lebaran, pelajar-pelajar perlu mengutamakan keselamatan diri dan tidak mendedahkan diri kepada bahaya.

"Setiap yang kita lakukan perlu ada batasnya, kalau boleh janganlah sampai ada yang hilang jari, hilang tangan dan sebagainya.

"Apa yang penting, di Hari Raya kita dapat meluangkan masa bersama sahabat handai dan saudara mara yang setahun sekali sahaja kita dapat bertemu," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbukanya di Kampung Gajah Putih, Mukim Ah Padang Sera dekat Kubang Pasu pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata setakat ini beliau masih belum mengetahui jumlah sebenar pelajar yang menjadi mangsa mercun pada Ramadan lalu.

Katanya beliau menunggu laporan rasmi apabila sesi persekolahan dibuka semula 10 Jun nanti.

Dalam pada itu, Maszlee turut mengetengahkan tema Kasih Sayang, Kegembiraan dan juga saling Menghormati sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

"Tema ini dipilih oleh kementerian kerana ia merupakan sebahagian daripada rencah kepada kemanusiaan itu sendiri.

"Maksudnya dalam kehidupan manusia kita perlukan semua nilai ini walaupun kita berbeza pandangan, fahaman, agama, latar belakang dan darjat tapi kita jadikan Hari Raya ini untuk saling menghormati dan merayakan hari bermakna ini," katanya.

Tambahnya di Malaysia, Hari Raya menjadi sambutan untuk semua kaum bukan sahaja bagi umat Islam sahaja.