Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menahan lebih 29 pengikut kumpulan Al Ansar Imam Mahdi, termasuk ketua gerakan itu kerana disyaki mengamalkan fahaman Syiah.

Kesemua 21 lelaki dan lapan wanita berusia 14 hingga 59 tahun termasuk 15 kanak-kanak dicekup dalam dua serbuan di sebuah rumah inap desa dekat Umbai di sini serta premis perniagaan kafe siber di Telok Mas antara 11 malam dan 3.30 pagi tadi.

Serbuan diketuai Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaannya Zurul Iman Zakaria dengan dibantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam serbuan itu, pasukan penguatkuasa turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi penyebaran fahaman salah seperti buku berunsur Syiah dan Imam Mahdi, kain rentang, bendera melambangkan syiah, batu karbala, komputer serta keris.

Kumpulan berkenaan dikatakan telah bergerak aktif mengamalkan fahaman bercanggah dengan Islam sejak setahun lalu.

Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 63 kerana ingkar Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 dan boleh dihukum tiga tahun penjara atau denda RM5 ribu atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.