Tutup

JAIPk buka kertas siasatan program politik di masjid, surau

JAIPk buka kertas siasatan program politik di masjid, surau
Mohd Yusop berkata, siasatan itu juga sebagai suatu bentuk peringatan kepada semua pihak terbabit agar mematuhi peraturan yang ditetapkan sudah sekian lama tetapi pihak berkaitan mengambil sikap tidak peduli terhadap undang-undang itu.
IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan beberapa pihak yang dikatakan mengadakan program di masjid dan surau atas tiket politik.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin, berkata siasatan itu selaras dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai perkara tersebut.
"Siasatan dilakukan mengikut Peraturan-Peraturan Pengawasan Pengajaran Agama dan Dakwah 2013 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 dan penjara sehingga enam bulan, jika sabit kesalahan,' katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada Ahad, Sultan Nazrin menitahkan supaya JAIPk menyiasat tiga program di masjid dan surau di negeri ini, yang dianjurkan atas nama parti politik, serta penyampaian ceramah agama oleh penceramah yang tidak bertauliah.
Program itu ialah di Masjid al-Khairiah, Kampung Banjar Hilir, Teluk Intan pada 21 Mei, Surau Al-Ittihad Kampung Temiang di sini pada 24 Mei dan di Surau Diri Jumaat Al-Taufiqiah Taman Klebang Prima, Chemor, pada 22 Mei.

Baginda turut menitahkan Mohd Yusop melakukan siasatan lengkap ceramah berkenaan untuk dipersembahkan kepada baginda.

Mohd Yusop berkata, siasatan itu juga sebagai suatu bentuk peringatan kepada semua pihak terbabit agar mematuhi peraturan yang ditetapkan sudah sekian lama tetapi pihak berkaitan mengambil sikap tidak peduli terhadap undang-undang itu.

BACA: Perak larang guna imam luar negara untuk solat Tarawih

Pada masa sama, katanya, JAIPk juga akan menyiasat aduan mengenai pelanggaran arahan agar semua masjid dan surau mengadakan solat tarawih 20 rakaat, tidak mengadakan program tazkirah di pertengahan solat serta tidak menjemput imam luar Perak.

"Kami harap semua masjid dan surau mematuhinya walaupun mungkin ada yang mengatakan ramai jemaah meninggalkan masjid selepas lapan rakaat tetapi arahan mengatakan perlu buat 20 rakaat adalah kepada institusi, bukan kepada makmum," ujarnya.