Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) meminta pihak yang mengetahui kes Al-Quran dibuang di kawasan pembuangan sampah yang didakwa berlaku di Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Chepor agar tampil membuat laporan kepadanya.

Pengarah JAIPk Datuk Mohd Yusop Husin berkata ini kerana Al-Quran terbabit perlu dilupuskan mengikut prosedur.

"Individu yang melakukannya tidak menghormati kitab suci tersebut malah tergamak membuangnya di tong sampah.

"Al-Quran perlu dikendalikan dengan baik dan jika mahu dilupuskan, individu tersebut boleh menghantar ke pejabat agama terdekat supaya ia boleh diuruskan dengan sempurna," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai sekeping gambar memaparkan seorang lelaki berumur lingkungan 60-an menemui dan mengutip sebuah kotak mengandungi beberapa naskhah dipercayai Al-Quran yang dibuang di kawasan pembuangan sampah di RPT Chepor, yang tular semalam.

-- BERNAMA