Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) akan meneruskan siasatan ke atas tiga premis yang menjual produk sejuk beku di sini yang mempamerkan tanda halal yang tidak diperakui.

Ketua Unit Pembangunan Halal Jais Asmawaty@Siti Asmah Ahmad berkata ketiga-tiga premis yang diperiksa jabatan itu dalam operasi di sini hari ini turut didapati menggunakan sijil halal yang meragukan.

Bercakap kepada pemberita selepas operasi itu, beliau berkata pemilik premis boleh didakwa mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM250,000.

Menurutnya sehingga kini, hanya lima premis menjual produk sejuk beku di negeri ini yang memperoleh pengiktirafan halal dari JAIS dengan empat daripadanya di Miri dan sebuah di Bintulu.

"Mereka yang membeli produk sejuk beku dari kelima-lima premis ini untuk tujuan dijual semula juga perlu memiliki sijil halal dari Jais untuk premis masing-masing," katanya.