Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membantu delegasi Malaysia menjawab dan mempertahankan tindakan dilaksanakan negara dalam isu hak asasi manusia, khususnya berkaitan Islam pada Sesi Pembentangan Penilaian Berkala Sejagat (UPR) Ke-3 di Geneva pada 8 November ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata beberapa perkara melibatkan agama yang turut disentuh ialah khatan wanita dan perkahwinan kanak-kanak selain isu lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT).

"Sudah pasti dengan penglibatan Jakim dalam pembentangan ini akan dapat membantu Malaysia dalam menyuarakan pendirian, dan usaha dilakukan untuk mempertahankan hak-hak asasi menurut perspektif Islam.

"Peluang ini juga dapat dimanfaatkan Malaysia untuk memberi gambaran kepada dunia mengenai pendekatan yang diambil negara dalam mempertahankan hak asasi manusia berpandukan faktor budaya, latar belakang serta asal-usul kaum di negara ini berlandaskan semangat Perlembagaan Persekutuan dan syariah," katanya dalam satu kenyataan di akaun Facebooknya.


Jakim juga berharap pihaknya dan delegasi dapat menyuarakan pandangan umat Islam di Malaysia dan saling bertukar pandangan dari pelbagai sudut dalam usaha mencapai kesepakatan dan kebaikan masyarakat sejagat serta membuktikan bahawa Islam adalah agama terbaik yang membawa rahmat kepada semua pihak.

Penilaian Berkala Sejagat itu diadakan setiap lima tahun sekali sejak 2009 bertujuan menilai rekod hak asasi manusia bagi setiap negara anggota.

UPR merupakan mekanisme baharu yang diwujudkan oleh Persidangan Umum PBB di bawah Resolusi 60/251 pada 15 Mac 2006.

Ini merupakan penglibatan kali kedua Jakim dalam UPR selepas kali pertama pada tahun 2013.

JAKIM bakal diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Hakimah Mohd Yusoff.